Tuesday, December 25, 2018

SYEIKH ARSYAD AL BANJARIY / SHEIKH DAUD FATANI


SEMINAR PENDIDIKAN SERANTAU ASEAN
MEDAN 8-11 DISEMBER 2018
Oleh :
JAMALUDIN ASAARI
(  Internationa Islamic College Bagan Serai Perak , Malaysia )




MUQADDIMAH.

Ulama merupakan salah satu dari segment masyarakat yang ikut berjuang bersama untuk melawan adanya penjajahan dan penyebaran ilmu di Nusantara. Peran ulama sangat vital selain sebagai penyebar agama Islam, sekaligus penggerak masyarakat untuk sadar akan keperluan perjuangan untuk mengusir penjajah. Namun peranan ulama tidak selalu bersentuhan langsung dengan penjajah, ada yang hanya melalui karya-karya atau pemikiran yang disampaikan melalui ceramah di muka umum yang menunjukkan ketidaksukaannya kepada penjajah. 

Pada abad ke- 19 ulama-ulama di Nusantara yang pernah belajar ke Mekkah rata-rata mendapat banyak pengaruh ilmu agama dan pengetahuan yang sekembalinya ke Nusantara mereka menyebarkan keilmuan yang telah diperoleh. Dua ulama terkenal yang dibicarakan dalam tulisan ini adalah :
1.      Syeikh Muhammad Arsyad Al Banjari
2.      Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani

SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL BANJARI

Sheikh Muhammad Arsyad Al Banjari (1710-1812) adalah salah seorang ulama paling masyhur dalam peradaban Islam Nusantara. Beliau adalah penulis kitab fiqh "Sabilal Muhtadin Lit Tafaqquh Fi Amriddin" yang menjadi rujukan hingga hari ini di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand Selatan & Filipina Selatan.

Beliau lahir di Desa Lok Gabang, Kerajaan Banjar (sekarang masuk dalam wilayah Kab.Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia) pada tanggal 15 Shafar 1122 H, bertepatan 19 Maret 1710 M. Ayah beliau bernama Abdullah, ibu beliau bernama Aminah, persis seperti nama ayah & ibu Rasulullah SAW. Menurut para ahli nasab, nasab beliau bersambung sampai kepada Rasulullah SAW melalui jalur Abdullah Al Aidrus bin Abu Bakar As Sakran, terus ke atas hingga ke jalur Husein bin Ali r.a. & Fathimah r.a. binti Rasulullah SAW.

Sheikh Muhammad Arsyad Al Banjari (1710-1812) adalah salah seorang ulama paling masyhur dalam peradaban Islam Nusantara. Beliau adalah penulis kitab fiqh "Sabilal Muhtadin Lit Tafaqquh Fi Amriddin" yang menjadi rujukan hingga hari ini di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand Selatan & Filipina Selatan.

Beliau lahir di Desa Lok Gabang, Kerajaan Banjar (sekarang masuk dalam wilayah Kab.Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia) pada tanggal 15 Shafar 1122 H, bertepatan 19 Maret 1710 M. Ayah beliau bernama Abdullah, ibu beliau bernama Aminah, persis seperti nama ayah & ibu Rasulullah SAW. Menurut para ahli nasab, nasab beliau bersambung sampai kepada Rasulullah SAW melalui jalur Abdullah Al Aidrus bin Abu Bakar As Sakran, terus ke atas hingga ke keturunan Husein bin Ali r.a. & Fathimah r.a. binti Rasulullah SAW.

Ketika beliau masih berumur 7 tahun, Sultan Hamidullah bin Sultan Tahmidullah I (1700-1734) -yang sangat terkesan dengan kecerdasan beliau- meminta agar beliau dididik di istana. Hingga ketika beliau beranjak dewasa dan dinikahkan, beliau melanjutkan pendidikannya ke Makkah selama 30 tahun & Madinah selama 5 tahun atas biaya Sultan. Di sana beliau menimba ilmu sebanyak-banyaknya dari ulama-ulama Haramain (a.l. Sheikh Muhammad bin Sulaiman Al-Kurdi, Sheikh 'Athaullah dan Sheikh Muhammad bin Abdul Karim As-Sammani Al-Madani), sekaligus menjalin persahabatan yang sangat mendalam dengan sesama penimba ilmu dari Nusantara, yakni Abdus Shamad Al Falinbani (dari Palembang), Abdur Rahman Al Mashri Al Batawi (dari Betawi), Abdul Wahhab Bugis (dari Bugis), yang kesemuanya kemudian menjadi ulama masyhur di Nusantara.

Sepulangnya ke Negeri Banjar, kampung halaman beliau, beliau mendirikan tempat pendidikan ilmu agama, yang karena dikelilingi oleh pagar, disebut Dalam Pagar. Dalam perkembangannya, Dalam Pagar ini menjadi kampung yang sangat ramai oleh pencari ilmu agama dari seluruh pelosok negeri Banjar bahkan kerajaan lainnya di Kalimantan maupun luar Kalimantan. Kini, Dalam Pagar terletak di pusat kota Martapura, ibukota Kab.Banjar, dimana Masjid Al Karomah -salah satu masjid terbesar di Kalimantan Selatan- sebagai pusatnya.
Kitab tulisan beliau yang sempat dicatat adalah :

1. Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu Riddah al-Murtadin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M.
2. Luqtah al-'Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M.
3. Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabiul Akhir 1195 H/1780 M.
4. Risalah Qaul al-Mukhtashar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabiul Awal 1196 H/1781 M.
5. Kitab Bab an-Nikah.
6. Bidayah al-Mubtadi wa 'Umdah al-Auladi.
7. Kanzu al-Ma'rifah.
8. Ushul ad-Din.
9. Kitab al-Faraid.
10. Hasyiyah Fat-h al-Wahhab.
11. Mushhaf al-Quran al-Karim.
12. Fat-h ar-Rahman.
13. Arkanu Ta'lim as-Shibyan.
14. Bulugh al-Maram.
15. Fi Bayani Qadha' wa al-Qadar wa al-Waba'.
16. Tuhfah al-Ahbab.
17. Khuthbah Muthlaqah.

Zuriyat (anak dan cucu) beliau banyak sekali yang menjadi ulama besar :
1. Sheikh Jamaluddin bin Muhammad Arsyad Al Banjari, Mufti Kerajaan Banjar. Beliau memiliki pengaruh yang sangat besar pada masa pemerintahan Sultan Adam (1825 - 1857 M). Mufti Jamaluddin al-Banjari berkontribusi penting dalam perumusan Undang-Undang Sultan Adam (1251 H /1835 M). Ia kemudian dikenal sebagai ahli undang-undang Kesultanan Banjar. Pendapat dan pandangannya banyak mempengaruhi setiap proses perumusan undang-undang kesultanan.
2. Yusuf Saigon Al Banjari (Sheikh H. Muhammad Yusuf bin Muhammad Thasin Al Banjari), penda'wah yang berkeliling Nusantara hingga jauh ke Kamboja & Vietnam. Pendiri Pondok Pesantren Saigoniyah, pesantren pertama di Kalimantan Barat.
3. H. Abdurrahman Shiddiq, Mufti Kerajaan Indragiri Sapat, Tembilahan (Riau).
4. H.M. Thayib bin Mas'ud bin H. Abu Saud Al Banjari, ulama besar di Kedah, Malaysia.
5. Sheikh Husein Kedah Al Banjari, Mufti Kesultanan Kedah, Malaysia.
6. Sheikh H. Anang Zainal Ilmi, ulama ternama di Kalimantan Selatan pada tahun 1950/60-an. Banyak memiliki karomah & disebut-sebut sebagai Arsyad Al Banjari Kedua. Turut berperan penting dalam mendamaikan Pemerintah dengan Ibnu Hadjar (KRJT), dimana Ibnu Hadjar bersedia turun gunung atas do'a beliau. Dimakamkan di Kelampayan dalam komplek pemakaman Sheikh Muhammad Arsyad Al Banjari.
7. Sheikh H. Zaini Abdul Ghani, ulama besar di Kalimantan Selatan, yang ceramahnya selalu dihadiri ribuan hingga puluhan ribu orang yang datang dari Kalsel & luar Kalsel, bahkan dari Brunei, Singapura & Malaysia.
Sheikh Muhammad Arsyad Al Banjari wafat pada tanggal 6 Syawwal 1227 H atau 3 Oktober 1812 M. Beliau meninggal dunia pada usia 102 tahun dengan meninggalkan sumbangsih yang luar biasa besar bagi perkembangan Islam di Nusantara.

SHEIKH DAUD FATANI

NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H.

“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.

Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

SHEIKH DAUD DAN ILMU PENGETAHUAN

Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal. Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu.

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.

Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu. Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.
Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”.

Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya “Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak.

Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, “Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat” yang ertinya: “Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat”.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: “Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu.

“Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu”.

Menurut beliau lagi: “Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi”.

Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam.

Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam.

Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”.

KEWAFATAN

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.

Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.


SALASILAH KEILMUAN SYEIKH DAUD AL-FATHANI

SETELAH selesai membicarakan salasilah Sheikh Daud al-Fathani mengenai asal-usul keturunannya, pendidikannya dan kewafatannya, maka penulis bicarakan pula tentang guru-guru dan murid-muridnya. Sheikh Daud al-Fathani belajar daripada ramai guru-guru dalam pelbagai bidang. Beliau juga menurunkan ramai murid-murid yang menjadi ulama dan tokoh terkenal di Alam Melayu.

GURU-GURUNYA

Dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani mendapat pendidikan dasar keislaman dimulai dari lingkungan keluarga sendiri. Ayah dan datuknya adalah ulama besar yang bertanggungjawab dalam pendidikannya.Ada orang meriwayatkan bahawa Sheikh Daud al-Fathani pernah belajar di Aceh sekitar dua tahun. Dalam manuskrip nombor 486 yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia (Kuala Lumpur) ada menyebut bahawa Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani mengambil ijazah muqaranah daripada Sheikh Muhammad Zain Aceh. Bererti tentunya Sheikh Daud al-Fathani juga belajar dengan Sheikh Muhammad Zain. Sheikh Muhammad Zain adalah penyusun kitab Bidayat al-Hidayat, Kasyf al-Kiram dan lain-lain. Nama pada kitab karya-karyanya ialah Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Ketika melanjutkan pelajarannya di Mekah, Sheikh Daud al-Fathani mendekati para ulama Patani yang telah bermastautin di Mekah. Di antara ulama Patani yang telah diiktiraf dan dibolehkan mengajar di Masjidil Haram ialah Sheikh Muhammad Shaleh bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah seorang tokoh ulama Ahli Syari'at dan Haqiqat yang lebih banyak terjun ke dunia kesufian. Kepadanya Sheikh Daud al-Fathani banyak memperoleh ilmu terutamanya ilmu kesufian.

Membai’ahDalam salasilah berasal dari tulisan Sheikh Ismail bin Abdul Lathif Pontianak (lebih dikenali dengan nama Haji Ismail Jabal) yang salasilah itu sekarang ada pada salah seorang muridnya seorang ulama Pontianak bernama Haji Abdur Rani Mahmud, bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq pada bidang Tarekat Samaniyah. Akan tetapi pada bidang Thariqat Syathariyah pula adalah sebaliknya, iaitu Sheikh Daud al-Fathani telah membai'ah Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Jadi bererti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani adalah murid Sheikh Daud al-Fathani, bukan guru beliau.Daripada dua sumber yang bertentangan itu, penulis berpendapat bahawa sebelum Sheikh Daud al-Fathani menjadi seorang ulama besar, mungkin saja beliau belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Riwayat yang lain pula dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar langsung kepada Sheikh Muhammad bin Abdul Karim Samman al-Madani penegak/pelopor Tarekat Samaniyah.

Tentang ia belajar kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu telah penulis bicarakan dalam buku penulis berjudul Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani, juga buku penulis berjudul Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara. Berkemungkinan kerana Sheikh Daud al-Fathani yang termuda, lebih muda pula dari sahabatnya Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, maka beliau merasa perlu mendapat didikan dan bimbingan dari yang lebih tua.

Namun Sheikh Daud al-Fathani belajar terus secara rutin sehingga ia menjadi seorang yang berkebolehan dalam banyak bidang, maka tidak mustahil sahabatnya yang jauh lebih tua daripadanya kembali belajar kepadanya. Kejadian seperti tersebut ini adalah lumrah dalam dunia pendidikan.Sheikh Daud al-Fathani memang memang belajar kepada banyak guru. Berbagai aliran mazhab dan aliran iktikad dan kepercayaan yang dipelajari.

Pegangan tetapnya tidak berganjak menurut tradisi nenek moyangnya iaitu Mazhab Syafi’e dalam Fiqh dan mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam iktikad. Beliau tetap tidak berani mengambil jalan keluar supaya dalam Islam ini mesti melepaskan diri dari Mazhab Syafie ataupun tidak mengikat diri dari fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah walaupun pengetahuan beliau dalam segala bidang sangat mendalam.

Pengetahuannya yang menyeluruh lengkap bukan hanya di bidang Islam sahaja, tetapi termasuk pengetahuan umum dan pengetahuan duniawinya. Ilmu kedoktoranDikuasainya juga ilmu kedoktoran walaupun beliau tidak menjadi seorang doktor. Beliau juga mendalami ilmu hisab dan ilmu falak.

Sungguhpun beliau bukan seorang ahli politik, tetapi beliau bukanlah seorang yang mudah dipengaruhi oleh ideologi politik yang menang di zamannya. Beliau tetap merupakan seorang ulama yang berideologi Islam sebagai dasar negara. Secara asasnya, tentang teori dan praktik zikir dalam Tarekat Syathariyah Sheikh Daud al-Fathani telah menerima bai’ah dari Sheikh Mursyidnya, yang diakui sebagai ulama Sufi yang 'Arif Billah iaitu Sheikh Muhammad As’ad. Salasilah mengenai Tarekat Syathariyah ini secara lengkapnya ada disebutkan di dalam naskhah tulisan tangan beliau sendiri iaitu Kaifiyat Khatam Quran.

Mengenai salasilah Tarekat Samaniyah mulai dari Sheikh Daud al-Fathani yang diikuti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, Sheikh Abul Hasan dan Maulana Sheikh Hasib mungkin hidup segenerasi dan dapat menemui Sheikh Muhammad Karim Saman secara langsung. Ada pun tentang penerimaan bai’ah Tarekat boleh saja dibai’ah oleh murid yang lebih tinggi darjatnya atau lebih tua umurnya dengan syarat ada pelantikan Sheikh Mursyid sebagai khalifahnya. Salasilah lengkap Tarekat Samaniyah Sheikh Daud al-Fathani ini tertulis dalam kitab Siyarus Salikin karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.Adapun mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin hingga sampai kepada al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari, keterangannya adalah sebagai yang berikut.

Bahawa Sheikh Daud al-Fathani masih sempat menemui tahun-tahun kehidupan seorang ulama besar Mazhab Syafi’e yang menjadi Mahaguru di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir, yang terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi (1150 H- 1227 H). Ulama mazhab Syafie itu banyak murid-muridnya. Seorang di antaranya bernama Sheikh Muhammad bin Ali as-Syanwani yang sangat popular dengan Imam as-Syanwani saja.

Bahawa beliau adalah sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tarekat SyazaliyahDari versi lain mengenai Ilmu Usuluddin ini, terkenal lagi dengan nama seorang Imam besar yang disebut Imam Abu Manshur al-Maturidi. Bahkan salasilah Sheikh Daud al-Fathani sampai kepada imam besar tersebut. Salasilah lengkap mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin daripada kedua-dua Imam besar yang disebutkan di atas tidak disentuh, tetapi telah disebut dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Pertalian salasilah Tarekat Syazaliyah adalah sebagai berikut iaitu Sheikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani belajar kepada Sheikh Muhammad Saleh bin Ibrahim, ketua Mazhab Syafi’e di Mekah (wafat pada 1226 H) dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan termasuk Tarekat Syazaliyah.

Susunan salasilah lengkapnya tidak penulis senaraikan, tetapi disebut juga dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Sebilangan besar pula pernah penulis bicarakan mengenai riwayat hidup mereka sama ada dalam artikel ini mahupun buku-buku tulisan penulis sendiri. Dalam artikel yang akan datang, penulis akan memperkenalkan serba sedikit mengenai murid-murid Sheikh Daud Al-Fathani.

GELARAN : Al-Arif Ar-Rabbani  :
Ada pun kisah mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani telah  dibicarakan oleh ulama Nusantara sebelum ini. Perkataan Al-Arif Ar-Rabbani juga diberikan oleh beberapa ulama kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sejak zaman beliau dan gelaran itu kekal digunakan pada beberapa kitab karangan beliau hingga sekarang ini.

Menurut tradisi keilmuan Islam, khususnya ilmu tasawuf, hanya ulama-ulama yang sampai kepada peringkat Haal dan Maqam para Wali Allah saja yang layak diberikan gelar Al-Arif Ar-Rabbani atau Al-Arif Billah. Tidak ramai ulama dunia Melayu memperoleh gelaran demikian.

Di antara yang tidak ramai itu termasuk juga Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Ar-Rabbani Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Dari julukan nama yang demikian agung, ramai orang tidak ragu-ragu tentang cerita-cerita karamah yang pernah berlaku terhadap ulama besar, Wali Allah, yang banyak menghasilkan kitab karangan, yang berasal dari Patani itu.

RUMAH KERISIK
Cerita tentang karamah seorang Wali Allah yang pertama sekali saya dengar ialah Karamah Syeikh Daud al-Fathani. Sewaktu ibu saya, Hajah Wan Zainab Syeikh Ahmad al-Fathani, mengajar golongan hawa, beliau menggunakan salah sebuah kitab Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Beliau meriwayatkan, “Pada satu ketika sewaktu Syeikh Daud al-Fathani mengajar di rumahnya di Kerisik, Patani tiba-tiba beliau berhenti mengajar.”

LALU DIGERAK-GERAKANNYA TANGANNYA.

Lengan bajunya basah. Ada muridnya bertanya, kenapa Tok Syeikh itu berkelakuan demikian. Tok Syeikh Daud menjawab, “Aku menolong orang karam!” Sejurus kemudian orang karam itu datang menemui Tok Syeikh Daud kerana membayar nazar. Setelah orang-orang yang mengikuti pengajian kepada ibu saya tersebut pulang, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimanakah caranya orang yang diam di atas darat boleh menolong orang karam di laut? Ibu saya menjawab, “Belajar rajin-rajin. Mengaji Quran banyak-banyak. Berdoa banyak-banyak. Nanti di kemudian hari kamu ketahui.”

Saya tidak perlu memaksa diri sendiri atau orang lain percaya atau pun menolak riwayat di atas, tetapi setelah saya membanding pelbagai perubahan zaman dapatlah saya fahami maksud perkataan ibu saya itu. Bererti beliau faham ilmu psikologi pendidikan kanak-kanak pada zaman itu (tahun 1950). Kenapa kita menolak cerita karamah para Wali Allah ? Sedangkan zaman kita sekarang cerita yang bercorak robot yang direka oleh manusia moden, seperti ultraman, doraemon, power rangers, termasuk juga pendidikan seks yang diketahui oleh kanak-kanak yang masih di bawah umur apakah kita tidak terfikirkan dampak negatifnya terhadap remaja Islam dan bangsa Melayu untuk masa-masa yang akan datang ?

Oleh itu kisah mukjizat para Nabi dan karamah para Wali Allah adalah patut diperkenalkan. Di dalamnya banyak peroleh petunjuk dan keberkatan bukannya membawa kejumudan seperti pendapat pihak-pihak tertentu yang selalu sinis dari sesuatu yang bersumberkan daripada tradisi Islam.

Kisah di atas juga saya dengar di Kerisik, Patani, tahun 1970 di rumah tempat kejadian (rumah yang dibina oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani). Rumah tersebut runtuh (terpetak di atas tanah) pada 1989, kebetulan ketika kejadian itu saya berada di Patani. Saya menyaksikan sendiri, bahawa ada bahagian penting tempat sebuah peti manuskrip atau naskhah-naskhah tulisan tangan tidak mengalami kerosakan. Berhari-hari khazanah ilmu itu tidak dipedulikan orang, terbiar begitu saja sehinggalah saya datang ke tempat itu.

Saya memang mempunyai hak atas pemilikan naskhah-naskhah itu, oleh itu telah saya selamatkan dengan apa yang ada dalam koleksi saya. Dari peristiwa tersebut dan perbandingan lainnya, saya dapat mengambil iktibar bahawa keghairahan kebanyakan orang selalu berusaha memperoleh harta pusaka yang bercorak kebendaan, tetapi sangat jarang atau sedikit sekali orang yang mengutamakan khazanah ilmu yang dipusakai oleh datuk neneknya.

Setelah saya kaji peri kehidupan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, bahawa beliau lebih mengutamakan pusaka khazanah ilmu dari kebendaan lainnya, barangkali kerana itulah sebahagian ilmu-ilmu yang berasal dari beliau masih selamat sampai sekarang. Hasil-hasil karangan beliau masih banyak diajarkan orang di pelbagai tempat di dunia Melayu. Namanya tetap harum semerbak di sepanjang zaman.

KEBERANGKATAN KE MEKAH

Peristiwa karamah Syeikh Daud Abdullah al-Fathani sewaktu beliau akan ke Mekah yang pertama kali diriwayatkan sebagai berikut, “Tok Syeikh Daud adalah seorang suka berusaha sendiri, beliau tidak suka membebankan urusannya kepada orang lain termasuk terhadap kedua orang tuanya. Pada satu ketika, beliau ingin menunaikan haji ke Mekah sekali gus untuk belajar ke sana.”

Sejak kecil yang diusahakannya hanyalah menuntut ilmu, tidak pernah menghiraukan sesuatu pekerjaan lainnya. Walau pun beliau tahu bahawa kedua orang tuanya mampu mengirimnya ke Mekah, namun beliau tidak pernah menceritakan hasratnya itu. Sebagai seorang yang terpelajar dalam pelbagai ilmu, salah satu kaedah dalam ilmu tasawuf mempedoman bahawa hakikat pentadbiran, sama ada diri peribadi atau dari sekecil-kecil alam semesta hingga yang sebesar-besarnya adalah mutlak milik Allah s.w.t..
Tasawuf juga mengajar bahawa doa adalah senjata yang paling ampuh untuk mengatasi segala persoalan. Oleh itu Tok Syeikh Daud lebih mengutamakan berdoa daripada terlalu bersibuk-sibuk mencari wang. Kerana Tok Syeikh Daud berdoa dengan keseluruhan dirinya, diri yang zahir dan diri yang batin, tiada bahagian tubuh zahir dan batin, yang tidak ikut serta dalam munajat kepada Allah, maka doanya sentiasa dikabulkan Allah. Kabul itu pula ada kelainan daripada biasa.

Bahawa pada suatu hari Tok Syeikh Daud melihat seekor lembu menanduk busut. Tok Syeikh Daud berfikir mengapakah lembu itu berbuat demikian? Beliau munajat, mohon petunjuk kemungkinan ada rahsia yang tersembunyi pada kelakuan binatang itu.

Pada malam hari, Tok Syeikh Daud bermimpi bahawa di dalam busut itu tersimpan emas supaya beliau mengambilnya untuk belanja berangkat ke Mekah dan keperluan selama beliau belajar di sana. Emas itu pula supaya disedekahkan kepada semua orang miskin yang berada di Kerisik. Cara bersedekah pula hendaklah dengan rahsia, iaitu emas itu diletakkan di bendul pintu setiap rumah. Semua petunjuk dalam mimpi itu telah beliau kerjakan.

Sungguh ajaib, semua rumah yang diletakkan emas itu, pemiliknya bermimpi pula bahawa mereka menerima sedekah dari Tok Syeikh Daud.

Diriwayatkan, bahawa beliau seorang yang qana'ah (cukup seadanya saja), oleh itu amanah itu dilaksanakan dengan sejujur-jujurnya. Dengan demikian hidup beliau penuh berkat dan rahmat hinggalah ke akhir hayatnya.

Orang-orang yang menerima sedekah daripada Tok Syeikh Daud juga demikian adanya. (Sumber cerita diperoleh di Kerisik daripada beberapa orang tua-tua kewarisan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, tahun 1970).

JIN DI ALAM MANUSIA
Selalu kita mendengar ada orang mencari ilmu untuk menguasai jin atau pun makhluk halus. Mereka bermaksud dengan jenis ilmu yang demikian dapat mengatasi keperluan atau menyampaikan sesuatu hajat. Ini berbeza dengan para Wali Allah. Mereka tidak memerlukan ilmu seperti itu kerana mereka selalu berpegang kepada akidah yang betul. Sungguh pun begitu, ada beberapa orang ulama dunia Melayu termasuk Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang pernah menjadi guru kepada jin yang beragama Islam.

Diriwayatkan: “Ada satu jin yang menyamar bersama-sama dengan jenis manusia belajar kepada Tok Syeikh Daud di Masjid al-Haram, Mekah. Jin itu menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak tahu bahawa dia adalah bangsa jin. Sebenarnya Tok Syeikh Daud bukannya tidak tahu perkara itu, bagi seorang Wali Allah sesuatu rahsia yang belum diketahui oleh orang ramai beliau tidak akan menceritakannya selagi perkara itu tidak merosakkan pihak lainnya.

Pada satu malam, jin itu menjemput Tok Syeikh Daud dan gurunya yang berbangsa jin datang ke rumahnya kerana mengadakan kenduri. Semua yang hadir adalah bangsa jin dan mereka merendahkan diri kepada Tok Syeikh Daud.

Alam itu sebenarnya adalah alam jin, tetapi mereka cuba hadir kepada alam manusia. Maksud mereka bukan untuk menipu Tok Syeikh Daud tetapi mereka ingin mengambil berkat atas ketinggian martabat Wali Allah bangsa manusia itu.

Mereka menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak mengetahui perkara itu, sebenarnya sebelum datang ke tempat itu beliau telah maklum bahawa jemaah yang hadir di tempat itu bukan bangsa manusia tetapi adalah jemaah jin.

Setelah selesai upacara, jin tuan rumah bersedekah kepada Tok Syeikh Daud satu bungkusan yang di dalamnya terdapat ketulan-ketulan emas dan pelbagai jenis permata yang mahal-mahal harga. Tok Syeikh Daud menolak sedekah itu dengan secara halus, dibahagi-bahagikan kepada semua bangsa jin yang hadir di tempat itu sehingga tidak ada sesuatu pun yang tinggal pada beliau.

Cerita di atas dapat menjadi pengajaran, bahawa pada zaman moden sekarang masih ada orang yang ingin mendapatkan harta kekayaan melalui jin. Tetapi berbeza dengan ulama seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau tidak memerlukan barangan yang bukan dari alam kita sendiri.

Tidaklah berlebihan, saya kemukakan sedikit pengalaman bahawa saya pernah menyaksikan ada orang dapat mengambil jongkong emas, keris, dan permata dari alam ghaib. Tetapi ternyata emas di alam jin tidak menjadi emas di alam kita. Emas di alam jin hanyalah tembaga apabila masuk ke alam kita.

PANDANGAN SHEIKH DAUD AL-FATHANI - ILMU DUNIA DAN AKHIRAT

Ketokohan  Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang penulisan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.Ini dapat dilihat melalui karya-karya peninggalan beliau dalam pelbagai bidang, seperti mana yang telah dibicarakan sebelum ini.

Malahan melalui karya-karya beliaulah, maka dapat dilihat sejauh mana pandangan-pandangan beliau dalam pelbagai bidang tersebut. Pandangan-pandangan beliau tersebut dibahagikan kepada beberapa bidang-bidang yang khusus, di antaranya dari segi fikah, usuluddin, tasauf, hadis dan politik.

PANDANGAN TENTANG FIKAH

Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani di bidang penulisan fikah diakui oleh semua lapisan ulama di alam Melayu bahkan oleh ulama-ulama Arab sendiri. 

Dalam majalah Dian halaman 103, November 1977, Auni Haji Abdullah menulis: “Di abad ke 19 Masehi pula muncul seorang ahli di bidang fikah dan penulisan yang giat dan produktif sekali, iaitu Sheikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani. 

“Beliau salah seorang ulama fikah Syafie yang berpengaruh besar kerana kitabnya Minhajul Abidin. Beliau juga menghasilkan dua karya fikah yang penting dalam perkembangan fikah di rantau ini, iaitu Furu’ul Masail dan Bughyatuth Thullab. Sebenarnya karya fikah Sheikh Daud al-Fathani bukan hanya dua namun ada lagi yang tebal antara lain Hidayatul Muta’allim (1244 H), Fathul Mannan (1249 H), Jawahirus Saniyah (1252 H) ………………"

Dalam kitab Hidayatul Muta’allim, Sheikh Daud al-Fathani memulakan mukadimah perkenalannya dengan hadis 40 menurut susunan beliau. Beliau menulis beberapa hadis yang ada hubungan dengan fikah, antara lain katanya: “Ketahui olehmu bahawasanya menunjukkan beberapa hadis ini supaya memberi ketahui akan kamu bahawasanya orang yang menghafal beberapa masail fiqhiyah yang wajib kita amalkan itu pada makna ia menghafaz hadis jua hasil pahala mengajar dan belajar kerana bahawasanya ialah maksud daripada hafaz hadis.”

Sebagaimana diketahui walaupun Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang tokoh fikah dalam semua mazhab, namun beliau sendiri adalah mengikut mazhab Syafie. Dalam beberapa kitabnya serba sedikit beliau sentuh riwayat hidup Imam Syafie terutama pada permulaan kitab Bughyatuth Thullab.

PANDANGAN TENTANG USULUDDIN

Sebagaimana pengetahuan fikah dan penulisan kitabnya, Sheikh Daud al-Fathani memegang peranan terpenting di dalam ilmu usuluddin juga. Tentang ilmu usuluddin dapat dibuktikan dengan peninggalan kitab-kitab besar dan tebal dengan ketinggian nilainya. 

Malahan sehingga kini belum ditemui kitab usuluddin yang dikarang oleh ulama di Asia Tenggara melebihi karya-karya Sheikh Daud al-Fathani seumpama Warduz Zawahir. Kitab yang paling banyak tersebar di kebanyakan kedai kitab juga kitab yang penting ialah Ad Durrust Stamin (1232 H).

Selain karya-karya tertentu membicarakan masalah teologi seperti tersebut. Hampir semua kitab fikah karya beliau memuatkan tentang usuluddin tersebut pada permulaan kitab. 

Di permulaan kajian, beliau membuat risalah-risalah kecil dalam memperkenalkan ilmu usuluddin. Memang banyak perkara seni dan indah yang dapat dipetik daripada pelbagai kitabnya, di samping bersifat terjemahan yang kadangkala terdapat juga perkara yang sukar diketemukan dalam kitab berbahasa Arab.

Dalam karyanya Jawahirus Saniyah, Sheikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat. 

Menurut beliau juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w., kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir). 

Kata beliau: “Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat lontarkanlah ia daripada dirimu. 

“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.” 

Pandangan beliau yang tersebut adalah dipetik dari kitab karyanya Jawahirus Saniyah di halaman 34- 35.

PANDANGAN TENTANG TASAUF

Hampir setiap kitab fikah karya Shyeikh Daud al-Fathani di bahagian akhirnya dicantumkan perkara tasauf. Kitab tasauf yang tebal dan luas perbahasannya adalah Jam’ul Fawaid. 

Daripada pelbagai kitabnya yang telah dikumpulkan, nampak jelas bahawa Sheikh Daud al-Fathani bukan sahaja sebagai seorang tokoh fikah dan usuluddin, tetapi boleh diklasifikasikan ke dalam tokoh tasauf yang ulung, juga seorang tokoh tasauf yang mengikuti haluan sunah seumpama halnya dengan Imam Ghazali. 

Sungguhpun demikian, tidak dapat dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang yang tidak sehaluan dengan al-Hallaj, yang mana jika ulama Asia Tenggara iaitu Sheikh Hamzah al-Fanshuri dan Sheikh Syamsuddin as-Sumathrani. 

Hal ini nyata benar pembelaan, jika diteliti karyanya berjudul Manhalush Shafi. Kitab Manhalush Shafi iaitu satu kitab di antara karya beliau yang memuatkan istilah-istilah percakapan orang-orang sufi mengikuti aliran tasauf Syeikh Muhyiddin Ibnu Arabi, al-Hallaj dan
lain-lain. 

Sungguhpun nyata bahawa di dalam kitab Manhalush Shafi adalah satu keterangan yang mendalam dan seakan-akan pembelaan Sheikh Daud al-Fathani terhadap golongan tasauf. 

Dalam tahun 1240 H, Sheikh Daud al-Fathani menterjemahkan dua kitab tasauf yang penting dalam dunia Islam, iaitu yang pertama Minhajul ‘Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Ghazali dan yang kedua ialah Kanzul Minan karangan Ibnu Madyan.

Kitab Minhajul ‘Abidin terjemahan Sheikh Daud al-Fathani tersebut banyak dikaji di Asia Tenggara, manakala Kanzul Minan dahulunya banyak dikaji oleh masyarakat Melayu di Mekah. 

Pada mukadimah terjemahan Minhajul ‘Abidin, beliau melahirkan kecintaannya terhadap tokoh sufi yang terkenal itu sebagaimana kata beliau: “Dan adapun kemudian daripada itu maka inilah terjemah bagi mu’allif r.a. iaitu penghulu kami Imam yang Alim Rabbani dan Arif Samadani ialah Quthbul Wujud yang mempunyai kasyaf dan syuhud yang dimasyhurkan antara ulama alam dengan ‘Hujjatul Islam’. 

Bahawa dia tempat mengambil dalil untuk menyampaikan ke negeri ‘Darus Salam’. Dia bernama Abdul Hamid bin Muhammad al-Ghazali Ath-Thusi. Bahawa beliau adalah seorang imam yang sangat besar kemuliaan namanya, karangannya dan lain-lainnya. Dalam ilmu fikah dia adalah asal yang sangat besar, dia pokok sekalian kitab fikah, dialah asal kitab Syeikhaini (dua orang Sheikh): Imam Nawawi dan Imam Rafi’i, yang sangat istimewa ialah Ihya’ Ulumuddin yang menghidupkan hati yang mati…….”

Sebagaimana dengan beraninya Shyeikh Daud al-Fathani mengagungkan Imam Ghazali, demikian juga sikap beliau dengan tokoh tasauf bernama Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani. Walaupun mutakhir ini ramai memandang remeh dan ada yang menyalahkan fahaman Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani itu, bahkan beliau mengakui bahawa Sheikh Sufi tersebut adalah penghulu beliau. 

Dalam permulaan terjemahan Kasyful Ghummah Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Dan demikian apa yang disebutkan oleh Arif Billah lagi yang memberi petunjuk kepada jalan Allah yang mempunyai kasyaf dan tahqiq iaitu ‘penghulu kami’ Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani radiallahu anhu.”

PANDANGAN TENTANG HADIS

Sehingga kini belum ditemui karya Sheikh Daud al-Fathani yang khusus membicarakan tentang hadis. Ini tidak bererti bahawa beliau bukan seorang ahli hadis, akan tetapi mungkin pada zaman beliau perkara ini masih kurang dibincangkan orang kerana pengaruh mempelajari kitab mazhab Syafie di bidang fikah dan fahaman Sheikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi adalah sangat tebal. Sehingga mengikut haluan Mazhab Ahli Sunah wal Jamaah lebih menjamin keselamatan. 

Hampir semua kitab karya Sheikh Daud al-Fathani baik dalam fikah, usuluddin dan tasauf jarang-jarang membicarakan sanad dan rawi jika terdapat hadis di dalamnya. Ini kerana bagi beliau cukup memakai istilah ‘hadis’ atau ‘bersabda Nabi s.a.w.’ sahaja.

Kesannya Sheikh Daud al-Fathani adalah juga seorang ahli hadis yang dapat diketahui melalui beberapa tulisan beliau di antaranya dalam Jam’ul Fawaid. Beliau berpendapat bahawa beramal dengan hadis daif bahkan hadis batil sekalipun diberi pahala, apabila dia bersifat fadhailul amal.

Dasar beliau untuk itu ialah perkataan Jabir bin Abdullah r.a., sabda Nabi s.a.w: “Barang siapa sampai kepadanya dari Allah sesuatu daripada kelebihan maka dia mengambilnya serta mengharapkan pahalanya nescaya Allah memberikan yang demikian itu, jikalau tiada yang demikian itu (jika berita itu tidak bersumber daripada Nabi s.a.w.”

Setelah mengemukakan berbagai hadis tentang kelebihan menghafal 40 hadis seperti yang tersebut pada permulaan hadis 40 karangan Imam Nawawi, maka Sheikh Daud al-Fathani menulis dalam Hidayatul Muta'allim: “Ketahuilah olehmu bahawasanya beberapa hadis ini menunjukkan supaya memberitahu kepada anda tentang orang yang menghafal hadis yang fiqhiyah yang wajib kita mengamalkannya. Pada makna menghafal hadis pada hasil pahala dengan mengajar dan mempelajarinya kerana dia termasuk dalam makna hafal hadis.”

Selanjutnya beliau menulis lagi: “ Maka sekarang faqir hendak mendatangkan 40 hadis di dalam risalah ini, mudah-mudahan didapat sempena di dalam karangan beberapa hadis yang menyatakan fadilat orang yang menyampaikan 40 hadis kepada orang yang tiada sampai pengkhabarannya. Tetapi aku pungut daripada beberapa hadis yang disebut oleh al-Arif Billah Ash-Syeikh Abdul Wahhab Sya’rani di dalam kitabnya bernama Kasyful Ghummah an Jami'il Ummah, tetap sunyi daripada menyebutkan sanad-sanadnya sebab berkehendak ikhtiar.”

Salah satu contoh hadis 40 yang ditulis oleh Syeikh Daud al-Fathani adalah berikut: “Sabda Nabi s.a.w.: ertinya: “Tujuh perkara yang mengalir pahala kepada hamba sedang dia di dalam kuburnya sesudah matinya iaitu; orang yang mengajar ilmu pengetahuan, orang yang mengalirkan air sungai, orang yang menggali telaga, orang yang membuat masjid, orang yang meninggalkan pusaka Mushaf, orang yang menanam kurma dan orang yang meninggalkan anak yang meminta pengampunan baginya sesudah matinya.”

Hadis 40 Syeikh Daud al-Fathani yang dimuat dalam Hidayatul Muta‘allim itu pernah disalin dan dikumpulkan oleh seorang muridnya iaitu Muhammad Nuruddin bin Haji Abdul Ghafur al-Fathani. Manuskrip tulisan tangannya menyebut selesai menyurat pada hari Isnin 8 Rejab 1266 H

PANDANGAN TENTANG POLITIK 

Mempertahankan Islam dengan erti kata yang benar sehingga tercapainya ‘Darul Islam’ yang menghendaki berlakunya undang-undang Islam yang termaktub dalam al-Quran. 

Dalam karya-karya fikahnya, sebagaimana juga ulama-ulama lain yang dapat dibaca melalui perundangan-perundangan Islam termasuk masalah jihad fisabilillah yang nyata bagi orang Islam menggunakan hukum yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. Selagi tidak kembali kepada hukum Allah, sudah pasti keamanan secara hakiki tidak akan terwujud di dunia ini. 

Berdasarkan tulisan-tulisan Sheikh Daud al-Fathani melalui kitab-kitab Fiqh yang tebal, dapat dipetik beberapa pelajaran terutama dalam masalah negeri Islam yang dijajah oleh kafir menghendaki perjuangan seluruh umat Islam. Terutama umat Islam dalam negeri itu sendiri dan yang berdekatan dengan negeri tersebut juga. 

Dalam persoalan tentang jihad sama ada ia wajib atau sunat, maka Sheikh Daud al-Fathani menjawab bahawa jihad itu adalah fardu ain jika kafir itu datang ke negara Islam.  Fardu ain itu dengan erti kata bahawa kewajipan terhadap semua umat Islam yang ada di negeri itu dan negeri berdekatan dengan negeri Islam yang dikuasai kafir. 

Sekiranya ada orang Islam yang ditawan oleh kafir, wajiblah orang Islam lain berusaha melepaskan saudaranya yang terkena musibah itu. Juga berkewajipan atas orang Islam berusaha menolak pencerobohan terhadap perempuan-perempuan Islam.

Dalam Bughyatuth Thullab, Syeikh Daud al-Fathani menulis: “Dan setengah daripadanya perang sabil bagi kuffar yakni wajib Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau naik Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu atau diperbaiki akan kota yang di antranya dan antara negeri mereka itu serta diteguhkan dia dan ditaruhkan senjatanya dan orang yang menunggu padahnya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu.

“Maka hendaklah diperbuat akan salah satu daripada keduanya maka gugur fardu kifayahnya ini jika mereka itu tiada datang kepada negeri kita ini. Maka jika ia datang kepada negeri Islam maka jadilah ‘fardu ain’ atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu hingga perempuan dan sahaya orang.”

Sebagai penutup bahagian ini, disertakan kalimat-kalimat yang mempunyai hubungan dengan perkara yang dibincangkan ini, iaitu tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dalam Fatawal Fathaniyah.

Kata beliau: “Manakala lemah kita mendirikan sesuatu hukum syarak seperti rejamkan zani muhsan dan takut fitnah yang memudaratkan Muslimin yang tiada kuasa kita atas menolakkan nescaya gugur daripada kita wajib mendirikannya pada ketika itu, dan wajib atas sekalian Muslimin bersungguh-sungguh mencari jalan dengan tadbir siasat, belajar dan mengajar anak-anak kita akan segala wasilah bagi mendirikan segala hukum syarak daripada segala ilmu siasat dan ilmu syarak hingga dapat mendirikan dia seperti barang yang nyatanya.”

PENGARUH SHEIKH DAUD FATANI DI NUSANTARA


1. Karya-karya beliau menjadi rujukan pada masyarakat dan diajar di masjid-masjid dan surau.
2. Karya-karya dan pemikiran beliau menjadi bahan penyelidikan di universiti tempatan dan luar Negara.
3. Pemikiran beliau tersebar melalui anak murid beliau sehingga hari ini.
4. Berjuang membebaskan fatani daripada penjajahan siam.

SANJUNGAN CENDIKIAWAN TERHADAP SYEIKH DAUD FATANI

1. Kerajaan khilafah Uthmanniyyah telah memberikan gelaran al-‘Alim al-‘Allamah al-fahhamah al-‘Arif al-Rabbani kerana ketokohan dan keilmuan beliau.
2. Diberikan pengiktirafan menjadi sheikh haji melayu yang pertama dan diberikan pentauliahan mengajar di Masjid al-Haram.
3. Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar. Pengerusi pengelola Dewan Bahasa Dan pustaka menganggap Sheikh daud fatani sebagai pemikir dan ulama’ yang menghasilkan karya sebaris dengan Hamzah samsuri, Nuruddin al-Raniri abdul Samad al-palambani dan Muhammad al-arsyad al-Banjari


Rujukan.


No comments:

Post a Comment

Batam-Sapat-Tembilahan-Tungkal-Jambi-Bukittinggi-Padang

Jetty Sapat Sapat Tungkal Jambi Harmoni One Batam